Titus 3 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Kelakuan Orang Kristian 1 Ingatkan anggota jemaahmu supaya taat kepada pemerintah dan penguasa, patuh kepada mereka dan bersedia melakukan segala perkara yang baik. 2 Beritahu jemaahmu supaya tidak mengumpat ataupun bertengkar dengan sesiapa pun, tetapi bersikap ramah tamah dan lemah lembut kepada semua orang. 3 Kita harus bersikap demikian, kerana dahulu kita juga bodoh, tidak taat, dan sesat. Kita diperhamba oleh berbagai-bagai nafsu dan keinginan. Hidup kita dipenuhi dengan perasaan dengki dan cemburu, dan kita saling membenci. 4 Tetapi Allah, Penyelamat kita menunjukkan kasih dan kebaikan hati-Nya kepada kita. 5 Dia menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik kita, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Allah menyelamatkan kita melalui Roh-Nya, yang mengurniai kita kelahiran baru dan hidup baru dengan membasuh kita. 6 Allah melimpahkan Roh-Nya kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita, 7 supaya oleh rahmat-Nya, kita berbaik semula dengan Allah, dan kita menerima hidup sejati dan kekal yang kita harap-harapkan. 8 Kata-kata itu sungguh benar. Aku mahu engkau memberikan perhatian kepada perkara-perkara tersebut, supaya orang yang percaya kepada Allah sungguh-sungguh berusaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan berguna bagi semua orang. 9 Tetapi jauhkanlah diri daripada perdebatan yang sia-sia, senarai nenek moyang, pertengkaran, dan perkelahian tentang Taurat. Semua itu sia-sia dan tidak berguna. 10 Berikanlah amaran kepada orang yang menyebabkan perpecahan dalam jemaah. Nasihatilah orang itu sekurang-kurangnya dua kali, setelah itu jauhilah dia. 11 Engkau tahu bahawa orang seperti itu jahat dan dosa-dosanya membuktikan dia bersalah. Petunjuk-Petunjuk Terakhir 12 Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, berusahalah seboleh-bolehnya untuk datang kepadaku di Nikopolis, kerana aku telah mengambil keputusan akan tinggal di sana pada musim sejuk. 13 Berusahalah seboleh-bolehnya untuk menolong Zenas, peguam itu dan Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan. Pastikanlah mereka tidak kekurangan apa-apa. 14 Hendaklah jemaah kita mengamalkan perbuatan baik supaya dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian hidup mereka berguna. 15 Semua saudara yang bersama-sama aku mengirim salam kepadamu. Sampaikanlah salam kami kepada sahabat-sahabat kita yang seiman. Semoga Allah memberkati kamu semua. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia