Mazmur 99 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Allah, Raja yang Agung 1 TUHAN itu raja, orang gementar kerana Dia; Dia bertakhta di atas kerub, dan bumi pun bergoncang. 2 TUHAN sangat berkuasa di Sion; Dia penguasa tertinggi atas semua bangsa. 3 Setiap orang akan memuji nama-Nya yang agung dan mulia. Sucilah Dia! 4 Hai Raja yang perkasa, Engkau mencintai hukum; Engkau telah menegakkan keadilan di Israel, Engkau telah melaksanakan hukum dan keadilan. 5 Pujilah TUHAN, Allah kita; sujudlah di hadapan takhta-Nya! Sucilah Dia! 6 Musa dan Harun termasuk imam-imam-Nya, dan Samuel salah seorang yang berdoa kepada Dia; mereka berseru kepada TUHAN dan Dia menjawab mereka. 7 Dari tiang awan, Dia berfirman kepada mereka; mereka patuh kepada hukum dan perintah yang diberikan-Nya. 8 Ya TUHAN, Allah kami, Engkau mengabulkan permintaan umat-Mu; Engkau menunjukkan bahawa Engkau Allah yang suka mengampuni orang, walaupun Engkau menghukum mereka kerana dosa mereka. 9 Pujilah TUHAN, Allah kita dan sembahlah Dia di atas bukit-Nya yang suci! TUHAN, Allah kita suci. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia