Mazmur 98 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Allah Penguasa Dunia 1 Mazmur. Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN; Dia telah melakukan perbuatan yang menakjubkan! Dengan kuasa dan kekuatan-Nya sendiri, Dia telah mencapai kemenangan. 2 TUHAN mengumumkan kemenangan-Nya; Dia menyatakan keadilan-Nya kepada bangsa-bangsa. 3 Dia menepati janji-Nya kepada orang Israel, umat-Nya dengan kasih dan kesetiaan kepada mereka. Semua bangsa di seluruh dunia telah melihat kemenangan Allah kita. 4 Hai seluruh bumi, bernyanyilah untuk TUHAN dengan girang; pujilah Dia dengan lagu dan sorakan! 5 Nyanyikanlah pujian untuk TUHAN, pujilah Dia dengan memetik kecapi. 6 Tiuplah trompet dan sangkakala, bersoraklah di hadapan TUHAN, Raja kita! 7 Berderulah, hai laut dan segala isimu, bernyanyilah, hai bumi dan semua yang mendiamimu. 8 Bertepuk tanganlah, hai sungai-sungai; bersorak-sorailah di hadapan TUHAN, hai bukit-bukit, 9 kerana TUHAN datang untuk memerintah bumi. Dia akan memerintah penduduk dunia dengan adil dan jujur. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia