Mazmur 96 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Allah, Raja yang Agung ( 1 Taw 16.23-33 ) 1 Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN! Bernyanyilah untuk TUHAN, hai seluruh dunia! 2 Bernyanyilah untuk TUHAN, dan pujilah Dia! Setiap hari isytiharkanlah berita baik bahawa Dia telah menyelamatkan kita. 3 Isytiharkanlah keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan perbuatan-Nya yang mengagumkan kepada segenap manusia. 4 TUHAN itu agung dan mesti dipuji setinggi-tingginya, Dia mesti dihormati lebih daripada semua dewa. 5 Dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala, tetapi TUHAN pencipta angkasa raya. 6 Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Dia, tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan semarak-Nya. 7 Hai semua orang di bumi, pujilah TUHAN! Pujilah keagungan dan keperkasaan-Nya! 8 Pujilah nama TUHAN yang mulia; bawalah persembahan dan masuklah ke dalam kediaman-Nya. 9 Bersujudlah di hadapan TUHAN apabila Dia muncul; gementarlah di hadapan-Nya, hai seluruh bumi! 10 Katakanlah kepada semua bangsa, “TUHAN itu raja! Bumi dikukuhkan dan tidak dapat digoncang; Dia akan menghakimi semua bangsa dengan adil.” 11 Bersukacitalah, hai bumi dan langit! Berderulah, hai laut dan segala isimu! 12 Bergembiralah, hai ladang-ladang dan segala tanamanmu! Pokok-pokok di hutan akan bersorak kegirangan, 13 apabila TUHAN datang untuk memerintah bumi. Dia akan memerintah penduduk dunia dengan jujur dan adil. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia