Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 88 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)


Doa Minta Tolong

1 Sebuah lagu. Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Mahalat Leanot. Sajak Heman, orang Ezrahi.

2 Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkan aku, pada waktu siang aku berseru kepada-Mu, pada waktu malam aku datang ke hadapan-Mu.

3 Dengarkanlah doaku; dengarkanlah seruanku minta tolong.

4 Begitu banyak kesusahan menimpa aku; maut sudah di ambang pintu.

5 Aku seperti orang yang menemui maut; segala kekuatanku sudah hilang.

6 Aku ditinggalkan di tengah-tengah orang mati; aku umpama orang terbunuh yang terbaring di kubur, orang yang telah Engkau lupakan sama sekali, yang tidak dapat Engkau tolong lagi.

7 Engkau telah membuang aku ke kubur yang dalam, ke dalam lubang yang paling gelap dan dalam.

8 Engkau sangat murka kepadaku, kemurkaan-Mu bagaikan ombak yang memukul aku.

9 Engkau menyebabkan rakan-rakanku meninggalkan aku; Engkau menyebabkan mereka jijik akan aku. Aku terkurung dan tidak dapat melarikan diri;

10 mataku kabur kerana menderita. Ya TUHAN, setiap hari aku berseru kepada-Mu, aku berdoa dengan menadahkan tangan kepada-Mu.

11 Adakah Engkau melakukan mukjizat bagi orang yang telah mati? Adakah mereka bangkit dan memuji Engkau?

12 Adakah kasih-Mu disebut orang di dalam kubur, ataupun kesetiaan-Mu disebut di tempat kebinasaan?

13 Adakah mukjizat-Mu kelihatan di tempat yang gelap itu, ataupun kebaikan-Mu kelihatan di negeri yang sudah dilupakan orang?

14 Ya TUHAN, aku minta pertolongan-Mu; setiap pagi aku berdoa kepada-Mu.

15 Ya TUHAN, mengapakah Engkau menolak aku? Mengapakah Engkau menyembunyikan diri-Mu daripadaku?

16 Sejak kecil lagi aku menderita dan hampir mati; aku kehabisan tenaga menanggung hukuman-Mu.

17 Kemurkaan-Mu yang hebat menimpa aku, serangan-Mu yang dahsyat membinasakan aku.

18 Semuanya itu seperti banjir yang melanda aku sepanjang hari, dan mengepung aku dari segala arah.

19 Engkau menyebabkan sahabat karibku meninggalkan aku; hanya kegelapan yang menemani aku.

Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.

Bible Society of Malaysia
Lean sinn:



Sanasan