Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 86 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)


Doa Minta Tolong

1 Doa Daud. Dengarlah seruanku, ya TUHAN, dan kabulkanlah doaku, kerana aku lemah dan tidak berdaya.

2 Selamatkanlah aku daripada maut, kerana aku setia kepada-Mu; selamatkanlah aku, hamba-Mu yang percaya kepada-Mu.

3 Engkaulah Allahku; kasihanilah aku; sepanjang hari aku berdoa kepada-Mu.

4 Ya Tuhan, gembirakanlah hati hamba-Mu, kerana aku menaikkan doa kepada-Mu.

5 Ya Tuhan, Engkau baik dan suka mengampuni orang, Engkau mengasihi mereka yang berdoa kepada-Mu.

6 Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah aku minta pertolongan.

7 Ketika aku dalam kesusahan, aku berseru kepada-Mu kerana Engkau mengabulkan doaku.

8 Tiada tuhan yang seperti Engkau, ya Tuhan, tiada yang dapat melakukan apa yang Engkau lakukan.

9 Semua bangsa yang telah Engkau cipta akan datang, ya Tuhan, untuk menyembah-Mu dan memuji kebesaran-Mu.

10 Engkau berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib; hanya Engkaulah Allah.

11 Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan aku akan menurutnya dengan setia; ajarlah aku menghormati Engkau dengan sungguh-sungguh.

12 Aku akan memuji Engkau dengan sepenuh hati, ya Tuhan, Allahku; aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu selama-lamanya.

13 Betapa besarnya kasih-Mu untukku; Engkau telah menyelamatkan aku dari kubur.

14 Ya Allah, orang sombong datang melawan aku; sekumpulan orang kejam berusaha untuk membunuh aku; mereka tidak mempedulikan Engkau.

15 Tetapi Engkau, ya Tuhan, Allah pengasih dan penyayang, sentiasa sabar, baik, dan setia.

16 Pandanglah aku dan kasihanilah aku; kuatkanlah aku dan selamatkanlah aku, kerana aku mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu.

17 Ya TUHAN, buktikanlah kebaikan-Mu kepadaku, maka mereka yang membenci aku akan tersipu-sipu, ketika melihat Engkau menghiburkan dan menolong aku.

Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.

Bible Society of Malaysia
Lean sinn:



Sanasan