Mazmur 82 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Allah Raja yang Agung 1 Mazmur Asaf. Allah mengetuai sidang di syurga; di hadapan makhluk-makhluk syurga Dia memberikan keputusan-Nya, 2 “Jangan hakimi orang dengan tidak adil, dan jangan berpihak kepada orang jahat. 3 Belalah hak anak yatim dan orang lemah; bersikap adillah kepada orang miskin dan yang tidak berdaya. 4 Selamatkanlah mereka daripada kuasa orang jahat. 5 Betapa jahilnya kamu, betapa bodohnya kamu! Kerana kamu tidak berakhlak, keadilan lenyap dari bumi ini. 6 Aku berkata bahawa kamu ilahi, bahawa kamu semua anak Yang Maha Tinggi. 7 Namun kamu akan mati seperti manusia; nyawa kamu akan berakhir seperti nyawa seorang penguasa.” 8 Datanglah, ya Allah, dan hakimilah dunia; semua bangsa kepunyaan-Mu. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia