Mazmur 81 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Lagu Perayaan 1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Gitit. Mazmur Asaf. 2 Bersoraklah dengan gembira kepada Allah, pembela kita; nyanyikanlah pujian kepada Allah Yakub. 3 Mulakanlah muzik dan mainkanlah tamburin; mainkanlah lagu yang merdu dengan kecapi dan gambus. 4 Tiuplah trompet untuk perayaan kita pada waktu bulan baru dan bulan purnama. 5 Inilah satu hukum untuk Israel, satu perintah daripada Allah Yakub. 6 Dia memberikan hukum ini kepada umat Israel, ketika Dia menyerang negeri Mesir. Aku mendengar suara yang tidak aku kenal, berkata, 7 “Aku telah mengangkat beban dari bahu kamu; dan membebaskan kamu daripada kerja paksa. 8 Ketika kamu dalam kesusahan, kamu berseru kepada-Ku, dan Aku pun menyelamatkan kamu. Dari tempat persembunyian-Ku di dalam awan petir, Aku mengabulkan permintaan kamu; di mata air Meriba Aku menguji kamu. 9 Hai umat-Ku dengarlah amaran-Ku; Hai Israel, Aku sangat ingin kamu mendengar firman-Ku! 10 Jangan sembah tuhan lain. 11 Akulah TUHAN, Allah kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir. Bukalah mulut dan Aku akan memberi kamu makan. 12 Tetapi umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku; Israel tidak mahu taat kepada-Ku. 13 Oleh itu Aku membiarkan mereka mengikut kedegilan mereka, dan berbuat sesuka hati mereka. 14 Sekiranya umat-Ku mendengar firman-Ku, sekiranya mereka taat kepada-Ku, 15 Aku akan mengalahkan musuh mereka dengan segera, dan menaklukkan semua lawan mereka. 16 Orang yang membenci Aku meromok ketakutan di hadapan-Ku; mereka akan dihukum selama-lamanya. 17 Tetapi kamu akan Kuberi makan gandum pilihan, dan Kukenyangkan dengan madu hutan.” |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia