Mazmur 80 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Doa bagi Pemulihan Bangsa 1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Mazmur kesaksian Asaf. 2 Dengarlah kami, hai Gembala umat Israel; Engkau yang mengetuai umat-Mu. Engkau yang bertakhta di atas kerub, 3 tunjukkanlah diri-Mu kepada suku Efraim, Benyamin, dan Manasye! Nyatakanlah kuasa-Mu; datanglah dan selamatkanlah kami! 4 Pulihkanlah kami, ya Allah! Kasihanilah kami supaya kami selamat! 5 Ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, sampai bilakah Engkau murka dan tidak mendengar doa umat-Mu? 6 Engkau memberi kami kesengsaraan sebagai makanan, dan air mata yang banyak sebagai minuman. 7 Engkau membiarkan bangsa-bangsa di sekeliling berperang kerana hendak merampas negeri kami; musuh-musuh mengejek kami. 8 Pulihkanlah kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Kasihanilah kami supaya kami selamat. 9 Engkau membawa umat-Mu yang seperti pokok anggur keluar dari Mesir; Engkau mengusir bangsa-bangsa lain, lalu menanam pokok itu di negeri mereka. 10 Engkau menyediakan tanah baginya; akarnya mendalam dan menjalar ke seluruh negeri itu. 11 Bayangnya meneduhkan bukit-bukit, dan dahan-dahannya menutupi pokok sedar yang besar. 12 Cabang-cabangnya menjalar ke Laut Tengah, pucuk-pucuknya sampai ke Sungai Efrat. 13 Mengapakah Engkau merobohkan pagar di sekelilingnya? Kini sesiapa yang lalu di situ dapat mencuri buah anggurnya. 14 Babi hutan memijak-mijaknya, dan binatang liar pun memakannya. 15 Berpalinglah kepada kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Pandanglah kami dari syurga; datanglah dan selamatkanlah umat-Mu! 16 Selamatkanlah umat-Mu yang seperti pokok anggur yang Engkau tanam, pokok muda yang telah Engkau jadikan begitu kuat. 17 Musuh kami telah membakar dan memotong pokok itu; biarlah mereka dibinasakan oleh kemurkaan-Mu! 18 Lindungilah dan peliharalah umat yang telah Engkau pilih, bangsa yang telah Engkau jadikan begitu kuat. 19 Tidak sekali-kali kami akan meninggalkan Engkau lagi; biarlah kami hidup, lalu Engkau akan kami puji. 20 Pulihkanlah kami, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa. Kasihanilah kami supaya kami selamat. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia