Mazmur 79 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Doa bagi Pembebasan Bangsa 1 Mazmur Asaf. Ya Allah, orang yang tidak mengenal Engkau telah menyerang tanah-Mu. Mereka telah menajiskan Rumah-Mu yang suci dan meruntuhkan Yerusalem. 2 Mayat umat-Mu ditinggalkan mereka untuk dimakan burung pemakan bangkai. Mayat hamba-hamba-Mu dibiarkan mereka untuk dimakan binatang liar. 3 Mereka menumpahkan darah umat-Mu seperti air; darah mengalir di seluruh Yerusalem, dan tiada orang yang tinggal untuk menguburkan orang mati. 4 Bangsa-bangsa di sekeliling mengejek kami; mereka mentertawakan serta mengolok-olokkan kami. 5 Ya TUHAN, berapa lamakah Engkau akan murka terhadap kami? Adakah kemurkaan-Mu akan terus membakar seperti api? 6 Murkailah bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau; orang yang tidak berdoa kepada-Mu, 7 kerana mereka telah membunuh umat-Mu dan merosakkan negeri-Mu. 8 Jangan hukum kami kerana dosa nenek moyang kami, tetapi kasihanilah kami sekarang kerana kami putus asa. 9 Tolonglah kami, ya Allah, penyelamat kami; demi kehormatan-Mu sendiri, selamatkanlah kami dan ampunkanlah dosa kami. 10 Jangan biarkan bangsa-bangsa lain bertanya, “Di manakah Allah kamu?” Hukumlah bangsa-bangsa itu di hadapan kami kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Mu. 11 Dengarlah rintihan orang tawanan, dan dengan kuasa-Mu yang besar, bebaskanlah mereka yang dihukum mati. 12 Ya Tuhan, balaslah bangsa-bangsa itu tujuh kali ganda, bagi segala hinaan yang telah dilemparkan kepada-Mu. 13 Lalu kami, umat-Mu, domba-domba-Mu, akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya, dan memuji-Mu sampai turun-temurun. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia