Mazmur 62 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Keyakinan akan Perlindungan Allah 1 Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Daud. 2 Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang menyelamatkan aku. 3 Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan. 4 Sampai bilakah kamu semua akan menyerang seorang yang lemah seperti pagar yang hampir roboh, dan seperti dinding yang miring? 5 Kamu hanya ingin menjatuhkan dia dari tempat kehormatannya; kamu suka berdusta. Dengan mulut, kamu memberkati, tetapi kamu mengutuk dalam hati. 6 Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang memberi aku harapan. 7 Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan. 8 Penyelamatanku dan kehormatanku bergantung kepada Allah; Dialah pelindungku yang kuat; Dialah tempat perlindunganku. 9 Hai bangsaku, percayalah kepada Allah setiap masa. Beritahukanlah segala kesusahan kamu kepada-Nya, kerana Dialah penaung kita. 10 Manusia hanya seperti hembusan nafas; besar atau kecil sama-sama tidak berharga. Kalau ditimbang, mereka ternyata ringan, lebih ringan daripada sehembus nafas. 11 Jangan bergantung kepada hasil pemerasan; jangan harapkan keuntungan daripada rompakan; walaupan kekayaan kamu bertambah, jangan bergantung kepadanya. 12 Beberapa kali aku telah mendengar Allah berfirman bahawa kuasa berasal daripada-Nya, 13 dan bahawa kasih-Nya kekal. Engkau, ya Tuhan, membalas semua orang menurut perbuatan mereka. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia