Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 59 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)


Doa Minta Perlindungan

1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia.

2 Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku; lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku!

3 Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu; lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu!

4 Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku; orang kejam berkumpul mengadang aku. Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan,

5 bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN, mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan.

6 Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku; lihatlah sendiri, ya Allah Israel! Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa; jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam.

7 Pada waktu senja mereka pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.

8 Dengarlah hinaan dan ancaman mereka. Kata-kata mereka tajam seperti pedang; mereka menyangka tiada orang yang mendengar.

9 Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka; Engkau mengolok-olokkan semua bangsa.

10 Aku yakin akan kekuatan-Mu; ya Allah, Engkaulah pernaunganku.

11 Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku; Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku.

12 Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa. Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka, ya Tuhan, pelindung kami.

13 Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka, biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka. Kerana mereka menyumpah dan berdusta,

14 binasakanlah mereka semasa Engkau murka; binasakanlah mereka semuanya. Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel, dan Dia memerintah semua orang di dunia.

15 Pada waktu senja musuh-musuhku pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.

16 Mereka berkeliaran mencari makanan, dan menggeram jika tidak kenyang.

17 Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu; setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu. Engkau telah menjadi pernaungan bagiku, perlindungan pada masa kesusahanku.

18 Aku akan memuji Engkau, pembelaku; Allah ialah pernaunganku, Allah yang mengasihi aku.

Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.

Bible Society of Malaysia
Lean sinn:



Sanasan