Mazmur 5 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Doa Minta Perlindungan 1 Untuk pemimpin koir. Dengan iringan suling. Mazmur Daud. 2 Ya TUHAN, dengarkanlah kata-kataku, dengarkanlah keluhanku. 3 Ya Allahku, Rajaku, dengarlah rintihanku dan tolonglah aku. Aku berdoa kepada-Mu, ya TUHAN; 4 pada waktu pagi Engkau mendengar suaraku; ketika matahari terbit aku mempersembahkan doaku, dan menanti-nantikan jawapan-Mu. 5 Ya Allah, Engkau tidak suka akan perbuatan jahat; Engkau tidak membenarkan orang jahat berada di hadirat-Mu. 6 Engkau tidak tahan melihat orang sombong; Engkau membenci semua orang jahat. 7 Engkau memusnahkan semua pembohong, dan menghina pengganas dan penipu. 8 Tetapi demi kasih-Mu yang besar, aku dapat masuk ke Rumah-Mu. Aku boleh menyembah Engkau di dalam Rumah-Mu yang suci, dan bersujud di hadapan-Mu dengan hormat. 9 Ya TUHAN, amat banyak musuhku; pimpinlah aku melakukan kehendak-Mu, dan tunjukkanlah jalan-Mu yang harus aku tempuh. 10 Kata-kata musuhku tidak boleh dipercayai; rancangan mereka jahat sekali; kata-kata mereka manis memikat, tetapi penuh dengan niat jahat. 11 Hukumlah mereka, ya Allah; biarlah mereka celaka kerana rancangan mereka sendiri. Usirlah mereka kerana dosa mereka yang banyak itu serta pemberontakan mereka terhadap-Mu. 12 Semoga semua orang yang berlindung kepada-Mu gembira; dan bernyanyi dengan sukacita selama-lamanya. Lindungilah mereka yang mengasihi Engkau, supaya mereka sungguh berbahagia kerana Engkau. 13 Engkau memberkati mereka yang taat kepada-Mu, ya TUHAN; kasih-Mu melindungi mereka seperti perisai. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia