Mazmur 43 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Doa Semasa di Tempat Pembuangan (lanjutan Mzm 42 ) 1 Ya Allah, buktikanlah bahawa aku tidak bersalah, dan belalah aku terhadap bangsa yang durjana; jauhkanlah aku daripada penjahat dan pendusta. 2 Engkaulah pelindungku; mengapakah Engkau meninggalkan aku? Mengapakah aku harus terus-menerus menanggung derita akibat kekejaman musuhku? 3 Berikanlah cahaya-Mu dan firman-Mu yang benar untuk menyinari dan membimbing aku, agar aku kembali ke Sion, bukit-Mu yang suci, dan ke tempat kediaman-Mu. 4 Maka aku akan pergi ke mazbah-Mu, ya Allah, kerana Engkaulah sumber kebahagiaanku; aku akan menyanyi serta memainkan kecapi, untuk memuji Engkau, ya Allah, Allahku! 5 Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah, dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia