Mazmur 34 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Pujian bagi Kebaikan TUHAN 1 Mazmur Daud, ketika dia berpura-pura tidak waras fikiran di hadapan Abimelekh. Kemudian Daud pergi setelah diusir oleh Abimelekh. 2 Aku akan sentiasa bersyukur kepada TUHAN; aku tidak akan berhenti memuji Dia. 3 Aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya; semoga semua orang yang tertindas mendengar dan bergembira. 4 Agungkanlah TUHAN bersama dengan aku, marilah bersama-sama memuji nama-Nya. 5 Aku berdoa kepada TUHAN dan Dia mengabulkan doaku, Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan. 6 Orang yang tertindas memandang Dia lalu bergembira; mereka tidak sekali-kali akan kecewa. 7 Orang malang berseru dan TUHAN menjawab, Dia membebaskan mereka daripada segala kesusahan. 8 Malaikat TUHAN mengawal orang yang menghormati-Nya, dan menyelamatkan mereka daripada bahaya. 9 Rasakanlah sendiri betapa baiknya TUHAN! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya! 10 Hormatilah TUHAN, hai semua umat-Nya, kerana orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan. 11 Singa juga lapar kerana kekurangan makanan, tetapi orang yang mentaati TUHAN tidak kekurangan apa-apa yang baik. 12 Marilah, hai anak-anak semua dan dengarlah nasihatku, aku akan mengajar kamu menghormati TUHAN. 13 Mahukah kamu menikmati hidup? Mahukah kamu berumur panjang dan berbahagia? 14 Jangan keluarkan kata-kata jahat, dan jangan suka berdusta. 15 Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik; usahakanlah kedamaian dengan tekun. 16 TUHAN memperhatikan orang salih, dan mendengar tangisan mereka; 17 tetapi Dia menentang orang yang berbuat jahat; apabila mereka mati, mereka cepat dilupakan. 18 Apabila orang salih berseru, TUHAN mendengar dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan. 19 TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa. 20 Orang baik mengalami banyak kesusahan, tetapi TUHAN menyelamatkan mereka daripada semuanya; 21 TUHAN memelihara mereka dengan sempurna, tulang mereka tidak satu pun patah. 22 Orang jahat akan mati kerana kejahatan mereka; mereka yang membenci orang salih akan dihukum. 23 TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya, mereka yang berlindung kepada-Nya akan diselamatkan. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia