Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 32 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)


Pengakuan dan Pengampunan

1 Mazmur Daud. Sajak. Berbahagialah orang yang dosa mereka telah diampunkan, yang kesalahan mereka telah dimaafkan.

2 Berbahagialah orang yang tidak dituduh oleh TUHAN kerana kejahatan mereka, dan yang tidak suka menipu.

3 Ketika aku tidak mengakui dosaku, aku letih kerana menangis sepanjang hari.

4 Siang malam Engkau menghukum aku, ya TUHAN; tenagaku habis seperti embun diserap terik matahari.

5 Kemudian aku mengakui dosaku kepada-Mu; aku tidak menyembunyikan perbuatanku yang salah. Aku mengambil keputusan untuk mengakui dosaku kepada-Mu, dan Engkau mengampunkan segala kesalahanku.

6 Oleh itu semua umat-Mu yang setia haruslah berdoa kepada-Mu pada masa kesusahan; apabila banjir kesusahan melanda, mereka tidak ditimpanya.

7 Engkaulah tempat persembunyianku, Engkau akan menyelamatkan aku daripada kesusahanku. Aku bersorak memuji-Mu, kerana Engkau menyelamatkan dan melindungi aku.

8 TUHAN berfirman, “Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti. Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati.

9 Janganlah bodoh seperti kuda atau baghal, yang mesti dikawal dengan tali dan kekang supaya menurut.”

10 Orang jahat pasti menderita, tetapi orang yang berharap kepada TUHAN dilindungi oleh kasih-Nya.

11 Bergembiralah dan bersukacitalah, hai orang yang salih, kerana segala perbuatan TUHAN. Bersoraklah dan bersukacitalah, hai semua orang yang tulus hati.

Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.

Bible Society of Malaysia
Lean sinn:



Sanasan