Mazmur 30 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Doa Kesyukuran 1 Mazmur Daud. Lagu untuk pentahbisan Rumah TUHAN. 2 Aku memuji Engkau, ya TUHAN, kerana Engkau telah menyelamatkan aku dan tidak membiarkan musuhku mentertawakan aku. 3 Aku berseru kepada-Mu meminta pertolongan, ya TUHAN, Allahku, dan Engkau menyembuhkan aku. 4 Engkau menghalang aku turun ke alam maut, dan menyelamatkan aku dari dunia orang mati. 5 Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN, hai umat-Nya yang setia! Ingatlah perkara yang telah dilakukan Yang Maha Suci dan bersyukurlah kepada-Nya! 6 Kemurkaan-Nya hanya sekejap sahaja, tetapi kebaikan-Nya berlangsung sepanjang umur. Air mata mungkin mengalir pada waktu malam, tetapi fajar membawa kegembiraan. 7 Ketika aku berasa selamat, aku berkata, “Aku tidak akan dikalahkan.” 8 Engkau sungguh baik kepadaku, ya TUHAN; seperti gunung yang kuat Engkau melindungi aku. Tetapi apabila Engkau menyembunyikan diri daripadaku, aku berasa takut. 9 Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; aku memohon pertolongan, 10 “Faedah apakah yang Kauperoleh daripada kematianku? Keuntungan apakah yang Kaudapat jika aku masuk ke lubang kubur? Adakah orang mati memuji-Mu? Dapatkah mereka memberitakan kesetiaan-Mu? 11 Dengarlah aku, ya TUHAN, dan kasihanilah aku. TUHAN tolonglah aku!” 12 Engkau telah mengubah kedukaanku menjadi tarian gembira; Engkau telah mengambil kesedihanku dan meliputi aku dengan kegembiraan. 13 Maka aku tidak akan berdiam diri; aku akan menyanyikan pujian kepada-Mu. Ya TUHAN, Engkaulah Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia