Mazmur 26 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Doa Orang yang Tidak Bersalah 1 Mazmur Daud. Berilah aku keadilan, ya TUHAN, kerana aku melakukan yang benar, dan aku percaya kepada-Mu dengan sepenuhnya. 2 Periksalah aku, ya TUHAN, dan ujilah aku, selidiklah keinginanku dan fikiranku. 3 Kasih-Mu membimbing aku; kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku. 4 Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna; aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura. 5 Aku membenci pergaulan dengan orang jahat, dan aku menjauhkan diri daripada penjahat. 6 Ya TUHAN, aku membasuh tanganku tanda tidak bersalah, dan aku mengelilingi mazbah-Mu untuk menyembah Engkau. 7 Aku menyanyikan sebuah mazmur dan memberitakan segala perbuatan-Mu yang ajaib itu. 8 Ya TUHAN, aku mengasihi Rumah kediaman-Mu, tempat yang penuh dengan kemuliaan-Mu. 9 Janganlah musnahkan aku bersama-sama orang berdosa; lindungilah aku daripada nasib pembunuh, 10 iaitu orang yang sentiasa melakukan kejahatan dan selalu sedia menerima rasuah. 11 Tetapi aku hidup dengan tulus hati; kasihanilah dan selamatkanlah aku. 12 Aku selamat daripada segala bahaya; aku akan memuji TUHAN dalam perhimpunan umat-Nya. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia