Mazmur 144 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Raja Bersyukur kepada TUHAN 1 Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, pelindungku! Dia melatih aku untuk bertempur, dan mempersiapkan aku untuk berperang. 2 Dialah pelindungku dan pembelaku, tempat aku bernaung dan penyelamatku; aku bergantung kepada-Nya supaya aku selamat. Dia menaklukkan bangsa-bangsa ke bawah kuasaku. 3 Ya TUHAN, apakah manusia sehingga Engkau memperhatikan dia? Dia manusia biasa, namun Engkau mengendahkan dia! 4 Manusia bagaikan hembusan nafas, dan hidupnya berlalu seperti bayangan. 5 Ya TUHAN, bukalah langit dan turunlah; sentuhlah gunung-gunung supaya berasap. 6 Pancarkanlah kilat dan cerai-beraikanlah musuh-Mu; lepaskanlah anak panah-Mu supaya musuh lari. 7 Hulurkanlah tangan-Mu dari syurga, dan selamatkanlah aku dari air yang dalam; selamatkanlah aku daripada kuasa orang asing, 8 yang selalu berdusta dan menipu, dan mengangkat sumpah palsu. 9 Aku akan menyanyikan lagu baru untuk-Mu, ya Allah; aku akan memainkan kecapi dan menyanyi untuk-Mu. 10 Engkau memberikan kemenangan kepada raja-raja, dan menyelamatkan hamba-Mu, Daud. 11 Selamatkanlah aku daripada pedang orang kejam, dan lepaskanlah aku daripada kuasa orang asing, yang selalu berdusta dan menipu, dan mengangkat sumpah palsu. 12 Semoga anak-anak lelaki kita yang masih muda menjadi seperti tumbuh-tumbuhan yang membesar. Semoga anak-anak perempuan kita menjadi seperti tiang cantik yang menyangga sudut-sudut istana. 13 Semoga gudang kita dipenuhi pelbagai hasil bumi. Semoga domba di ladang kita beranak sampai berpuluh-puluh ribu banyaknya. 14 Semoga lembu kita pun membiak, tanpa ada yang hilang ataupun keguguran. Semoga tiada tangisan kesengsaraan yang kedengaran di jalan-jalan kota kita. 15 Berbahagialah bangsa yang sedemikian, berbahagialah umat yang Allah mereka TUHAN! |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia