Mazmur 14 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Kejahatan Manusia ( Mzm 53 ) 1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Orang bodoh berkata dalam hati, “Tidak ada Allah.” Mereka semua jahat dan perbuatan mereka keji; tidak seorang pun melakukan yang baik. 2 Dari syurga TUHAN memandang umat manusia untuk mencari orang yang bijak, orang yang menyembah Dia. 3 Tetapi semua orang sudah menyimpang dan sesat, tiada seorang pun melakukan yang baik. 4 TUHAN bertanya, “Tidakkah semua orang jahat ini tahu? Mereka hidup dengan merompak umat-Ku, dan tidak pernah berdoa kepada-Ku.” 5 Orang jahat akan ketakutan, kerana Allah menolong orang yang taat kepada-Nya. 6 Orang jahat merintangi hasrat orang miskin, tetapi orang miskin dilindungi TUHAN. 7 Semoga penyelamatan bagi Israel datang dari Sion! Apabila TUHAN menjadikan umat-Nya makmur semula, semua orang Israel akan bersukacita. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia