Mazmur 132 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Pujian bagi Rumah TUHAN 1 Lagu ziarah. Ya TUHAN, ingatlah akan Daud, dan segala kesusahan yang ditanggungnya. 2 Ingatlah akan janjinya kepada-Mu, ya TUHAN, dan nazarnya kepada-Mu, Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub. 3 Katanya, “Aku tidak akan pulang atau tidur; 4 aku tidak akan berehat atau melelapkan mata, 5 sehingga aku membina rumah bagi TUHAN, tempat kediaman bagi Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub.” 6 Kami mendengar tentang Tabut Perjanjian di Betlehem, dan menemuinya di padang Yaar. 7 Kami berkata, “Marilah kita pergi ke Rumah TUHAN; marilah kita sembah Dia di hadapan takhta-Nya.” 8 Datanglah dan tinggallah di Rumah-Mu, ya TUHAN, bersama-sama Tabut Perjanjian, lambang kekuasaan-Mu. 9 Hendaklah imam-imam-Mu sentiasa melakukan apa yang benar; hendaklah umat-Mu bersorak-sorak kerana sukacita. 10 Engkau telah berjanji kepada Daud, hamba-Mu. Ya TUHAN, janganlah tolak raja pilihan-Mu. 11 Engkau telah berjanji dengan sumpah kepada Daud - Engkau tidak akan memungkiri janji ini: “Aku akan melantik salah seorang anakmu menjadi raja, dan dia akan mewarisi takhtamu. 12 Jika anak-anakmu setia kepada perjanjian-Ku, dan kepada perintah yang Aku beri mereka, maka anak-anak mereka juga akan mewarisi takhtamu selama-lamanya.” 13 TUHAN telah memilih Sion; Dia hendak menjadikannya tempat tinggal-Nya. 14 Dia berfirman, “Di sinilah tempat kediaman-Ku selama-lamanya; Aku hendak tinggal di tempat ini. 15 Aku akan memberi Sion segala keperluannya sehingga berlimpah-limpah; Aku akan mengenyangkan penduduknya yang miskin dengan makanan. 16 Imam-imamnya memperlihatkan penyelamatan daripada-Ku, dan rakyatnya akan bersorak-sorak kerana sukacita. 17 Di Sion seorang keturunan Daud akan Aku jadikan raja yang agung; Aku akan mengukuhkan pemerintahan raja pilihan-Ku. 18 Aku akan mempermalukan musuh-musuhnya, tetapi kerajaannya aman dan makmur.” |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia