Mazmur 101 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Janji Seorang Raja kepada Allah 1 Mazmur Daud. Aku menyanyi tentang kesetiaan dan keadilan, aku menyanyikan lagu ini untuk-Mu, ya TUHAN. 2 Aku akan menjaga kelakuanku supaya tidak bercela. Bilakah Engkau akan datang kepadaku? Aku akan hidup suci di rumahku; 3 aku tidak akan membiarkan kejahatan berlaku. Aku benci akan tindakan orang yang murtad; aku tidak mahu berhubungan dengan mereka. 4 Aku tidak akan berlaku curang; aku tidak akan terlibat dalam kejahatan. 5 Orang yang memfitnah dengan diam-diam akan aku binasakan; orang yang sombong dan angkuh tidak akan kubiarkan begitu. 6 Aku berkenan akan orang yang setia kepada Allah; mereka akan kubenarkan tinggal di dalam istanaku; orang yang benar-benar jujur akan aku benarkan melayani aku. 7 Pendusta tidak akan tinggal di dalam istanaku; orang munafik tidak akan berada di hadapanku. 8 Tiap-tiap hari aku akan membinasakan orang jahat di negeri kita; aku akan mengusir semua orang jahat dari kota TUHAN. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia