Ayub 32 - Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)Ucapan Elihu ( 32.1—37.24 ) 1 Oleh sebab Ayub yakin bahawa dia tidak bersalah, tiga orang sahabat itu tidak menjawab lagi. 2 Tetapi di situ ada seorang yang tidak dapat menahan geramnya, kerana Ayub menyalahkan Allah dan mengaku dirinya tidak bersalah. Namanya Elihu anak Barakheel, seorang keturunan Bus, daripada puak Ram. 3 Dia juga marah terhadap tiga orang sahabat Ayub itu kerana mereka tidak dapat menjawab Ayub, walaupun mereka menyalahkan dia. 4 Elihu yang termuda antara mereka. Oleh itu dia menunggu sehingga setiap orang sudah bercakap. 5 Setelah dia melihat tiga orang itu tidak dapat menjawab Ayub, dia menjadi marah 6 dan berkata demikian, “Aku ini masih muda, sedangkan kamu sudah tua, oleh itu aku takut dan ragu-ragu mengemukakan pendapatku. 7 Fikirku, biarlah yang sudah lanjut usia bercakap, dan yang lebih tua membahagikan hikmat. 8 Tetapi sebenarnya Roh Allah Yang Maha Kuasa yang memberikan hikmat kepada manusia. 9 Orang menjadi bijak, bukan kerana lanjut umurnya; orang mengerti yang benar, bukan kerana tinggi usianya. 10 Oleh itu, dengarkanlah aku; biarlah aku memberitahu kamu pendapatku. 11 Aku mendengar dengan sabar ketika kamu bercakap, dan menunggu ketika kamu mencari kata-kata bijak. 12 Aku memperhatikan dan mendengar kamu menemui kegagalan. Kesalahan dalam kata-kata Ayub tidak dapat kamu buktikan. 13 Bagaimana kamu dapat mengatakan kamu telah mendapatkan hikmat? Allah mesti menjawab Ayub, kerana kamu telah gagal. 14 Ayub berkata-kata kepada kamu, bukan kepada aku, tetapi aku tidak sekali-kali akan menjawab seperti kamu. 15 Ayub, mereka bingung dan tidak dapat memberikan jawapan; tiada lagi yang dapat dikatakan mereka. 16 Haruskah aku terus menunggu, ketika mereka berdiam diri? Mereka berdiri di situ dan tidak dapat berkata apa-apa lagi. 17 Tidak, kini aku hendak memberikan pendapatku, dan memberitahu kamu fikiranku. 18 Aku tidak sabar lagi menunggu. Aku tidak dapat menahan kata-kataku. 19 Jika aku tidak bercakap, aku akan meletup, seperti kirbat kulit yang berisikan wain baru. 20 Aku mesti bercakap supaya hatiku tenang; aku mesti membuka mulut dan memberikan jawapan. 21 Aku tidak akan menyebelahi sesiapa pun; aku tidak akan memuji sesiapa pun. 22 Cara memuji pun aku tidak tahu. Jika aku berbuat begitu, Allah akan segera menghukum aku. |
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia