MIKHA 5 - Alkitab Berita Baik Catholic Interconfessional BibleAllah Menjanjikan Seorang Penguasa 1 TUHAN berfirman, “Hai Betlehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.” 2 Oleh itu TUHAN akan membiarkan umat-Nya dikuasai musuh sehingga wanita yang akan bersalin itu melahirkan anak lelakinya. Selepas itu orang dalam pembuangan akan berkumpul semula dengan sesama bangsa mereka. 3 Apabila penguasa itu tiba, dia akan memerintah rakyatnya dengan kekuatan daripada TUHAN, dan dengan keagungan TUHAN, Allah sendiri. Rakyatnya akan hidup aman kerana semua bangsa di bumi akan mengakui kebesarannya, 4 dan dia akan mendatangkan keamanan. Apabila orang Asyur menyerang negeri kita dan menembusi pertahanan kita, kita akan mengutus pemimpin-pemimpin yang paling kuat untuk melawan mereka. Pembebasan dan Hukuman 5 Dengan kekuatan senjata, mereka akan mengalahkan Asyur, tanah Nimrod, dan mereka akan menyelamatkan kita daripada serangan orang Asyur apabila mereka menyerang wilayah kita. 6 Umat Israel yang masih hidup akan menjadi seperti embun yang menyegarkan, yang dikirim oleh TUHAN kepada banyak bangsa; mereka bagaikan titisan hujan pada tanaman. Mereka akan bersandar kepada Allah dan bukan kepada manusia. 7 Mereka yang masih hidup antara bangsa-bangsa lain akan menjadi seperti singa yang sedang mencari makanan di hutan atau di padang rumput; singa masuk ke tengah-tengah kawanan domba, menerkam serta mencabik-cabikkan domba; tiada sesiapa pun dapat menyelamatkan domba-domba itu. 8 Israel akan mengalahkan musuhnya dan membinasakan mereka semua. 9 TUHAN berfirman, “Pada masa itu Aku akan merampas kuda kamu dan memusnahkan kereta kuda kamu. 10 Aku akan memusnahkan kota-kota di negeri kamu dan merobohkan semua pertahanan kamu. 11 Aku akan memusnahkan azimat kamu dan menyingkirkan semua peramal kamu. 12 Aku akan memusnahkan patung-patung berhala dan tugu-tugu keramat kamu. Kamu tidak akan menyembah benda-benda buatan kamu sendiri lagi. 13 Aku akan merobohkan patung-patung Dewi Asyera di negeri kamu dan memusnahkan kota-kota kamu. 14 Dalam kemurkaan-Ku yang meluap-luap Aku akan membalas dendam-Ku terhadap semua bangsa yang tidak taat kepada-Ku.” |
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia