MAZMUR 90 - Alkitab Berita Baik Catholic Interconfessional BibleBUKU KEEMPAT (Mazmur 90—106) Allah dan Manusia 1 Doa Musa, hamba Allah. Ya Tuhan, Engkau tempat perlindungan kami, sampai selama-lamanya. 2 Sebelum Engkau menjadikan bukit-bukit, sebelum Engkau menciptakan dunia, Engkaulah Allah yang kekal, Allah selama-lamanya. 3 Engkau menyuruh manusia kembali kepada asal mereka, Engkau menjadikan mereka debu semula. 4 Seribu tahun seperti sehari bagi-Mu; seperti hari kelmarin yang telah lalu, seperti satu giliran jaga pada waktu malam. 5 Engkau mengakhiri hidup kami, hidup kami seperti mimpi. Kami umpama rumput yang bertunas pada waktu pagi, 6 yang tumbuh dan berbunga, tetapi layu dan mati pada waktu petang. 7 Kami binasa kerana kemurkaan-Mu; kami takut kerana kemarahan-Mu. 8 Engkau membentangkan dosa kami di hadapan-Mu, dosa kami yang tersembunyi dilihat oleh-Mu. 9 Usia kami dikurangkan kerana kemurkaan-Mu; hidup kami berakhir seperti satu hembusan nafas. 10 Tujuh puluh tahun sahaja usia kami, lapan puluh, jika kami kuat; namun yang kami alami hanya kekhuatiran dan kesusahan; kehidupan segera berakhir dan kami pun lenyap. 11 Siapakah pernah mengalami dahsyatnya kemurkaan-Mu? Siapakah yang sedar akan akibat kemarahan-Mu? 12 Sedarkanlah kami betapa pendeknya usia kami, supaya kami menjadi bijak bestari. 13 Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau murka? Kembalilah dan kasihanilah hamba-hamba-Mu. 14 Puaskanlah kami dengan kasih-Mu pada setiap pagi, supaya kami dapat menyanyi dan bergembira seumur hidup kami. 15 Berilah kami kebahagiaan sebanyak kedukaan yang kami tanggung dalam tahun-tahun kesengsaraan. 16 Tunjukkanlah perbuatan-Mu yang ajaib kepada kami, hamba-hamba-Mu, dan kuasa-Mu yang mulia kepada keturunan kami. 17 Ya TUHAN, Allah kami, berkatilah kami, dan berilah kami kejayaan dalam segala usaha kami. |
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia