Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

MAZMUR 79 - Alkitab Berita Baik Catholic Interconfessional Bible


Doa bagi Pembebasan Bangsa

1 Mazmur Asaf. Ya Allah, orang yang tidak mengenal Engkau telah menyerang tanah-Mu. Mereka telah menajiskan Rumah-Mu yang suci dan meruntuhkan Yerusalem.

2 Mayat umat-Mu ditinggalkan mereka untuk dimakan burung pemakan bangkai. Mayat hamba-hamba-Mu dibiarkan mereka untuk dimakan binatang liar.

3 Mereka menumpahkan darah umat-Mu seperti air; darah mengalir di seluruh Yerusalem, dan tiada orang yang tinggal untuk menguburkan orang mati.

4 Bangsa-bangsa di sekeliling mengejek kami; mereka mentertawakan serta mengolok-olokkan kami.

5 Ya TUHAN, berapa lamakah Engkau akan murka terhadap kami? Adakah kemurkaan-Mu akan terus membakar seperti api?

6 Murkailah bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau; orang yang tidak berdoa kepada-Mu,

7 kerana mereka telah membunuh umat-Mu dan merosakkan negeri-Mu.

8 Jangan hukum kami kerana dosa nenek moyang kami, tetapi kasihanilah kami sekarang kerana kami putus asa.

9 Tolonglah kami, ya Allah, penyelamat kami; demi kehormatan-Mu sendiri, selamatkanlah kami dan ampunkanlah dosa kami.

10 Jangan biarkan bangsa-bangsa lain bertanya, “Di manakah Allah kamu?” Hukumlah bangsa-bangsa itu di hadapan kami kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Mu.

11 Dengarlah rintihan orang tawanan, dan dengan kuasa-Mu yang besar, bebaskanlah mereka yang dihukum mati.

12 Ya Tuhan, balaslah bangsa-bangsa itu tujuh kali ganda, bagi segala hinaan yang telah dilemparkan kepada-Mu.

13 Lalu kami, umat-Mu, domba-domba-Mu, akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya, dan memuji-Mu sampai turun-temurun.

Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.

Bible Society of Malaysia
Lean sinn:



Sanasan