MAZMUR 39 - Alkitab Berita Baik Catholic Interconfessional BiblePengakuan Orang yang Menderita 1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Untuk Yedutun. 2 Aku berkata, “Aku akan berhati-hati dengan perbuatanku, dan tidak akan berdosa dengan lidahku. Aku tidak akan berkata apa-apa selama orang jahat berada di sisiku.” 3 Aku diam membatu, tidak berkata sepatah pun, walaupun tentang perkara yang baik. Tetapi penderitaanku bertambah berat, 4 dan hatiku penuh kecemasan. Semakin aku berfikir, semakin susah hatiku; lalu aku bertanya, 5 “Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku.” 6 Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan! Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas, 7 hidup mereka berlalu seperti bayangan. Segala perbuatan mereka sia-sia; mereka mengumpulkan harta, tetapi tidak tahu siapa akan mewarisinya. 8 Apakah yang boleh aku harapkan, ya Tuhan? Aku berharap kepada-Mu. 9 Selamatkanlah aku daripada segala dosaku, dan jangan biarkan aku menjadi ejekan orang dungu. 10 Aku diam dan tidak membuka mulutku, kerana inilah perbuatan-Mu. 11 Janganlah hukum aku lagi, aku hampir mati kerana pukulan-Mu. 12 Engkau menghukum dosa manusia dengan teguran-Mu, dan seperti gegat, Engkau memusnahkan kesukaan mereka. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas sahaja. 13 Dengarlah doaku, ya TUHAN, dan sambutlah rayuanku; janganlah diam ketika aku menangis. Aku menjadi tetamu-Mu hanya untuk sementara, seperti nenek moyangku. 14 Janganlah ganggu aku supaya aku dapat sedikit kebahagiaan, sebelum aku meninggal dan tiada lagi. |
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia