MAZMUR 2 - Alkitab Berita Baik Catholic Interconfessional BibleRaja Pilihan Allah 1 Mengapakah bangsa-bangsa membuat huru-hara dan rakyat merancangkan yang sia-sia? 2 Raja-raja dunia memberontak, para pemerintah berkomplot menentang TUHAN dan raja pilihan-Nya. 3 Mereka berkata, “Marilah kita bebaskan diri daripada kekuasaan mereka, marilah kita gulingkan pemerintahan mereka.” 4 Dari takhta-Nya di syurga TUHAN tertawa dan mencemuh rancangan mereka. 5 Dia menegur mereka dengan marah, dan menakutkan mereka dengan kemurkaan-Nya. 6 Dia berfirman, “Di Sion, bukit-Ku yang suci, Aku telah menabalkan raja-Ku.” 7 Raja bertitah, “Aku akan mengumumkan apa yang dinyatakan oleh TUHAN. Dia berfirman kepadaku, ‘Engkaulah anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapamu. 8 Mintalah, maka semua bangsa akan Kuberi kepadamu, dan seluruh bumi akan Kujadikan milikmu. 9 Engkau akan menghancurkan mereka dengan pemerintahan tangan besi; engkau akan menghancurkan mereka seperti periuk tanah.’ ” 10 Bertindaklah dengan bijak, hai raja-raja; dengarlah amaran ini, hai pemerintah dunia! 11 Berbaktilah kepada TUHAN dengan hormat; 12 bersujudlah di hadapan-Nya dengan gementar; jangan sampai TUHAN murka lalu kamu dibinasakan dengan tiba-tiba kerana cepat sekali kemurkaan-Nya menyala. Berbahagialah semua orang yang berlindung kepada-Nya! |
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia