MAZMUR 16 - Alkitab Berita Baik Catholic Interconfessional BibleDoa Keyakinan 1 Mazmur Daud. Jagalah aku, ya Allah, kerana aku berlindung kepada-Mu. 2 Aku berkata kepada TUHAN, “Engkaulah Tuhanku; tiada yang baik bagiku selain Engkau.” 3 Betapa baiknya umat yang setia kepada Allah! Aku sangat ingin bersama-sama mereka. 4 Mereka yang menyembah dewa-dewa bertambah-tambah kesusahan mereka. Aku tidak mahu turut serta mempersembahkan korban; aku tidak mahu menyembah dewa mereka. 5 Ya TUHAN, hanya Engkau yang aku miliki, Engkau memberi aku segala keperluanku; nyawaku ada di dalam tangan-Mu. 6 Sungguh indah pemberian-Mu kepadaku; betapa baiknya semua itu! 7 Aku memuji TUHAN kerana Engkau membimbing aku, pada waktu malam suara hatiku mengajar aku. 8 Aku sentiasa sedar akan hadirat TUHAN; Engkau ada di sampingku, tiada suatu pun dapat menggoncang aku. 9 Demikianlah hatiku bersyukur dan gembira, dan aku selamat, 10 kerana Engkau tidak akan membiarkan aku mati; orang yang Engkau kasihi tidak Kaubiarkan binasa. 11 Jalan yang menuju kehidupan Engkau tunjukkan kepadaku; hadirat-Mu menggembirakan aku, dan sentiasa membahagiakan aku. |
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia