MAZMUR 136 - Alkitab Berita Baik Catholic Interconfessional BibleLagu Kesyukuran 1 Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi. 2 Bersyukurlah kepada Allah Yang Maha Tinggi; kasih-Nya kekal abadi. 3 Bersyukurlah kepada Tuhan Yang Maha Besar; kasih-Nya kekal abadi. 4 Hanya Dia yang melakukan keajaiban besar; kasih-Nya kekal abadi. 5 Dengan kebijaksanaan-Nya Dia menjadikan langit; kasih-Nya kekal abadi. 6 Dia menghamparkan bumi di atas air; kasih-Nya kekal abadi. 7 Dia menjadikan matahari dan bulan; kasih-Nya kekal abadi. 8 Dia menjadikan matahari untuk memerintah siang; kasih-Nya kekal abadi. 9 Dia menjadikan bulan dan bintang untuk memerintah malam; kasih-Nya kekal abadi. 10 Dia membunuh anak lelaki sulung orang Mesir; kasih-Nya kekal abadi. 11 Dia memimpin umat Israel keluar dari Mesir; kasih-Nya kekal abadi. 12 Dia melakukan semuanya dengan tangan yang kuat dan perkasa; kasih-Nya kekal abadi. 13 Dia membelah Laut Gelagah; kasih-Nya kekal abadi. 14 Dia memimpin umat-Nya melalui laut itu; kasih-Nya kekal abadi; 15 tetapi Dia menenggelamkan raja Mesir dan tenteranya; kasih-Nya kekal abadi. 16 Dia memimpin umat-Nya melalui gurun; kasih-Nya kekal abadi. 17 Dia membunuh raja-raja yang berkuasa; kasih-Nya kekal abadi. 18 Dia membunuh raja-raja yang termasyhur; kasih-Nya kekal abadi. 19 Dia membunuh Sihon, raja orang Amori; kasih-Nya kekal abadi. 20 Dia membunuh Og, raja negeri Basan; kasih-Nya kekal abadi. 21 Dia memberikan negeri mereka kepada umat-Nya; kasih-Nya kekal abadi. 22 Dia memberikannya kepada Israel, hamba-Nya; kasih-Nya kekal abadi. 23 Dia tidak melupakan kita apabila kita dikalahkan; kasih-Nya kekal abadi. 24 Dia membebaskan kita daripada musuh-musuh kita; kasih-Nya kekal abadi. 25 Dia memberikan makanan kepada semua makhluk hidup; kasih-Nya kekal abadi. 26 Bersyukurlah kepada Allah penguasa di syurga; kasih-Nya kekal abadi. |
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia