KIDUNG AGUNG 2 - Alkitab Berita Baik Catholic Interconfessional Bible1 Aku bunga mawar di Saron, bunga bakung di lembah gunung. Lelaki 2 Seperti bunga bakung antara semak berduri, demikianlah sayangku antara puteri. Wanita 3 Bagaikan pokok epal antara pokok-pokok hutan, demikianlah sayangku antara kaum lelaki. Aku suka bernaung di bawahnya, buah-buahnya manis rasanya. 4 Dia membawa aku ke dewan pesta, pandangannya padaku penuh cinta. 5 Kuatkanlah aku dengan kismis, segarkanlah aku dengan epal, kerana aku sakit asmara. 6 Tangan kirinya menopang kepalaku, tangan kanannya membelai aku. 7 Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, demi rusa dan kijang di padang bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami. Nyanyian Kedua Wanita 8 Aku mendengar suara kekasihku. Dia lari kepadaku melalui bukit dan gunung. 9 Kekasihku seperti kijang; dia seperti anak rusa. Di balik tembok dia berdiri, dengan matanya dia menatap, dan mengintip dari kisi-kisi tingkap. 10 Kekasihku berkata-kata kepadaku. Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah. Lelaki 11 Musim sejuk sudah berlalu; hujan pun sudah berhenti. 12 Bunga di padang sudah mekar. Inilah masanya untuk menyanyi; bunyi tekukur terdengar di padang. 13 Buah ara mula masak; pokok anggur semerbak harum bunganya. Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah. 14 Engkau seperti burung merpati yang bersembunyi di celah-celah bukit batu. Biarlah kulihat wajahmu yang cantik itu, biarlah kudengar suaramu yang merdu. 15 Tangkaplah rubah-rubah yang kecil itu, rubah yang merosakkan ladang anggur, kerana pokok anggur kita sedang berbunga. Wanita 16 Kekasihku kepunyaanku, dan aku kepunyaannya. Dia menggembala dombanya di tengah-tengah bunga bakung 17 sehingga angin fajar bertiup dan kegelapan pun hilang. Kembalilah, hai sayangku, seperti kijang, seperti anak rusa di pergunungan Beter. |
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia