AYUB 23 - Alkitab Berita Baik Catholic Interconfessional BibleAyub 1 Tetapi Ayub menjawab, 2 “Aku tetap memberontak dan membantah Allah; aku tidak dapat menahan keluh kesah. 3 Alangkah baiknya jika aku tahu di mana Allah berada, dan dapat pergi ke tempat-Nya. 4 Maka aku akan mengajukan perkaraku kepada-Nya, dan membela diri dengan sedaya upaya. 5 Aku hendak tahu apa yang akan dikatakan-Nya, dan bagaimana Dia memberikan jawapan-Nya. 6 Adakah Allah dengan segala kekuatan-Nya menentang diriku? Tidak, Dia akan mendengarkan kata-kataku. 7 Aku jujur dan dapat berhujah dengan Allah, dan aku akan dinyatakan tidak bersalah untuk selama-lamanya. 8 Aku telah mencari Allah di timur, tetapi Dia tiada di sana; apabila aku mencari Dia di barat, Dia juga tiada di sana. 9 Allah telah bertindak di selatan dan utara, tetapi aku masih belum menemui Dia. 10 Namun Allah tahu setiap langkahku; jika aku diuji, terbukti kemurnian hatiku. 11 Aku mengikut jalan-Nya dengan setia, aku tidak menyimpang dari jalan yang ditentukan-Nya. 12 Perintah-perintah Allah selalu kutaati, aku menurut kehendak-Nya, bukan kehendakku sendiri. 13 Allah tidak pernah berubah dan tiada yang dapat menentang Dia. Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya. 14 Dia akan menjalankan rancangan-Nya untuk diriku, dan banyak lagi rancangan-Nya selain itu. 15 Kerana takut akan Dia, gementarlah aku; semakin aku fikirkan semua itu, semakin takutlah aku. 16-17 Allah Yang Maha Kuasa telah mematahkan semangatku. Aku takut kerana Allah, dan bukan kerana kegelapan, walaupun kegelapan mengelilingi aku dan menutupi wajahku. |
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia