Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Ibrani 1 - Alkitab Berita Baik


Allah Berfirman melalui Anak-Nya

1 Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara.

2 Tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya. Melalui Anak-Nya inilah Allah menciptakan alam semesta. Allah sudah menetapkan bahawa Anak-Nya inilah yang berhak memiliki segala sesuatu pada akhirnya.

3 Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa. Setelah Dia memungkinkan manusia dibebaskan daripada dosa, Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi.


Keagungan Anak Allah

4 Anak itu mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada malaikat, dan nama yang diberikan oleh Allah kepada-Nya pun jauh lebih terhormat daripada nama-nama malaikat.

5 Tidak pernah Allah berfirman kepada mana-mana malaikat-Nya, “Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.” Tidak pernah Allah berfirman tentang malaikat yang mana pun begini, “Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Anak-Ku.”

6 Tetapi pada masa Allah mengutus Anak-Nya yang sulung ke dunia ini, Dia berfirman, “Semua malaikat Allah wajib menyembah Anak itu.”

7 Tentang malaikat-malaikat, Allah berfirman demikian, “Allah menjadikan malaikat-malaikat-Nya angin, dan hamba-hamba-Nya nyala api.”

8 Tetapi tentang Anak itu, Allah berfirman, “Takhta-Mu, ya Allah, akan kekal selama-lamanya! Engkau memerintah umat-Mu dengan keadilan.

9 Engkau suka akan keadilan, dan benci akan kecurangan; itulah sebabnya Allah, Allah-Mu, memilih Engkau dan memberi Engkau kehormatan yang mendatangkan kegembiraan yang jauh lebih besar daripada yang diberikan-Nya kepada sahabat-sahabat-Mu.”

10 Allah juga berfirman, “Engkau, ya Tuhan, pada mulanya menjadikan bumi, dan dengan tangan-Mu sendiri Engkau menjadikan langit.

11 Semua itu akan lenyap, dan menjadi usang seperti pakaian; tetapi Engkau tidak akan berubah.

12 Alam semesta Engkau lipat seperti jubah, dan akan Engkau ganti seperti pakaian. Tetapi Engkau tidak akan berubah, dan hidup-Mu tidak akan berakhir.”

13 Allah tidak pernah berfirman kepada malaikat-Nya yang mana pun begini, “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga musuh-musuh-Mu Aku jadikan alas kaki-Mu.”

14 Jika demikian, apakah sebenarnya malaikat-malaikat itu? Mereka roh yang berbakti kepada Allah, dan yang disuruh oleh-Nya untuk menolong orang yang akan menerima penyelamatan.

Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.

Bible Society of Malaysia
Lean sinn:



Sanasan