MAZMUR 95 - Alkitab Berita Baik Protestant BibleLagu Pujian 1 Marilah kita memuji TUHAN, dan bernyanyi dengan gembira kepada Allah, pelindung dan penyelamat kita! 2 Marilah kita menghadap Dia dengan kesyukuran, dan dengan gembira menyanyikan lagu pujian. 3 TUHAN itu Allah yang berkuasa, raja perkasa yang menguasai semua dewa. 4 Dia memerintah seluruh bumi, gua yang terdalam dan juga gunung yang tertinggi. 5 Dia menguasai laut yang dicipta-Nya, dan juga darat yang dibentuk-Nya. 6 Marilah kita bersujud dan menyembah Dia; marilah kita berlutut di hadapan TUHAN, pencipta kita! 7 Dialah Allah kita; kitalah umat yang dipelihara-Nya, seperti kawanan domba yang digembalakan-Nya. Pada hari ini dengarlah firman-Nya, 8 “Jangan degil seperti nenek moyang kamu di Meriba, ketika mereka berada di gurun, di Masa. 9 Di sana mereka menguji dan mencuba Aku, sungguhpun mereka sudah melihat perbuatan-Ku. 10 Selama empat puluh tahun Aku muak terhadap mereka; Aku berfirman, ‘Alangkah derhakanya mereka! Mereka enggan taat kepada perintah-Ku.’ 11 Aku murka lalu bersumpah bahawa mereka tidak sekali-kali akan masuk ke negeri itu, tempat Aku memberi mereka rehat.” |
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.
Bible Society of Malaysia