Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Yesaya 52 - Alkitab Versi Borneo


TUHAN menyelamatkan Sion

1 Bangunlah, bangunlah! Kenakanlah kekuatanmu, wahai Sion! Kenakanlah pakaian kehormatanmu wahai Yerusalem, kota yang suci, kerana orang yang tidak bersunat dan yang najis tidak akan masuk lagi ke dalammu.

2 Kebaskanlah debu daripadamu, bangkitlah, duduklah, wahai Yerusalem! Lepaskanlah tali pengikat dari lehermu, wahai puteri Sion yang tertawan!

3 Beginilah firman TUHAN, “Kamu telah dijual tanpa harga, maka kamu pun akan ditebus tanpa wang.”

4 Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Pada mulanya umat-Ku pergi ke Mesir untuk tinggal di sana sebagai pendatang. Kemudian orang Asyur menindas mereka dengan tidak semena-mena.

5 Sekarang, apakah lagi urusan-Ku di sini?” Demikianlah firman TUHAN. “Umat-Ku diambil tanpa harga. Orang yang menguasainya meraung-raung,” demikianlah firman TUHAN, “dan nama-Ku terus dinista sepanjang hari.

6 Oleh sebab itu umat-Ku akan mengenal nama-Ku, dan pada hari itu mereka akan mengetahui bahawa Akulah yang berfirman, ya Aku.”

7 Alangkah indahnya di atas gunung-gunung melihat kaki mereka yang membawa berita baik, yang mengkhabarkan kedamaian, yang membawa khabar kesukaan, yang mengkhabarkan penyelamatan, yang berkata kepada Sion, “Allahmu bertakhta!”

8 Dengarlah, para pengintipmu menyaringkan suara, mereka bersorak-sorai bersama-sama, kerana dengan mata kepala sendiri mereka melihat bagaimana TUHAN memulihkan Sion.

9 Bergembiralah, bersorak-sorailah bersama-sama, wahai reruntuhan Yerusalem, kerana TUHAN telah menghiburkan umat-Nya. Dia telah menebus Yerusalem.

10 TUHAN telah memperlihatkan kuasa-Nya yang suci di hadapan mata segala bangsa. Segala hujung bumi akan melihat penyelamatan daripada Allah kita.

11 Menyingkirlah, menyingkirlah, keluarlah dari sana! Jangan sentuh yang najis! Keluarlah dari tengah-tengahnya, sucikanlah dirimu, wahai kamu yang mengangkut kelengkapan Bait TUHAN.

12 Sungguh, kamu tidak akan keluar dengan terburu-buru dan tidak akan pergi sebagai pelarian, kerana TUHAN akan maju di depanmu, Allah Israel akan menjadi penutup barisanmu.


Hamba Allah yang menderita

13 Sesungguhnya, hamba-Ku akan bertindak bijaksana. Dia akan ditinggikan, dijunjung, dan sangat dimuliakan.

14 Sebagaimana ramai orang tercengang melihat dia — begitu rosak rupanya sehingga tidak seperti manusia lagi dan susuknya tidak seperti anak manusia lagi —

15 demikianlah dia akan mengejutkan banyak bangsa. Raja-raja akan menutup mulut melihat dia, kerana mereka akan melihat apa yang belum pernah diceritakan kepada mereka dan memahami apa yang belum pernah didengar mereka.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan