Yeremia 45 - Alkitab Versi BorneoKata penghiburan Yeremia kepada Barukh 1 Inilah firman yang disampaikan oleh Nabi Yeremia kepada Barukh anak Neria pada tahun keempat zaman pemerintahan Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda, ketika Barukh menuliskan perkataan-perkataan tersebut dalam sebuah kitab langsung daripada penuturan Nabi Yeremia, 2 “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, kepadamu, wahai Barukh! 3 Engkau telah berkata, ‘Malangnya aku kerana TUHAN telah menambahkan dukacita pada penderitaanku! Aku penat berkeluh-kesah dan tidak mendapat ketenteraman.’ ” 4 “Beginilah harus kaukatakan kepadanya, ‘Demikianlah firman TUHAN, “Sesungguhnya, Aku akan meruntuhkan apa yang Kubina dan Aku akan mencabut apa yang Kutanam. Begitulah halnya di seluruh negeri itu. 5 Haruskah kaucari bagi dirimu hal-hal yang besar? Jangan mencarinya. Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka atas semua manusia, demikianlah firman TUHAN, tetapi nyawamu akan Kukurniakan seperti barang jarahan bagi dirimu sendiri ke mana-mana pun engkau pergi.” ’ ” |