Wahyu 5 - Alkitab Versi BorneoGulungan naskhah dan Anak Domba 1 Kemudian aku melihat segulungan naskhah di tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta itu. Gulungan itu bertulis kedua-dua belah dan dimaterai dengan tujuh materai. 2 Setelah itu, kulihat dan kudengar malaikat yang gagah perkasa bertanya dengan suara lantang, “Siapakah yang layak memecahkan materai dan membuka gulungan naskhah ini?” 3 Namun demikian, tiada seorang pun, baik di syurga, di bumi, mahupun di bawah bumi, yang terdaya membuka gulungan naskhah itu dan melihat kandungannya. 4 Oleh itu, aku pun menangis teresak-esak kerana tiada seorang pun yang layak membuka dan membaca gulungan naskhah atau melihat kandungannya. 5 Kemudian salah seorang tua-tua itu berkata kepadaku, “Jangan menangis. Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, Tunas Daud, telah menang. Dia dapat membuka gulungan naskhah itu dan memecahkan tujuh materai dan membuka gulungan naskhah itu.” 6 Selepas itu kulihat Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh keempat-empat makhluk dan para tua-tua. Anak Domba itu, yang kelihatan sudah disembelih, mempunyai tujuh tanduk dan tujuh mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah dihantar ke seluruh dunia. 7 Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah dari tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta. 8 Ketika Dia mengambil gulungan kitab itu, empat makhluk dan dua puluh empat orang tua-tua sujud kepada Anak Domba itu. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah batil emas berisi setanggi, iaitu segala doa orang salih. 9 Mereka menyanyikan lagu baru: “Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan membuka materainya kerana Engkau telah dibunuh, dan dengan darah kematian-Mu Engkau telah menebus untuk Allah manusia daripada segala suku, bahasa, kaum, dan bangsa. 10 Engkau telah menjadikan mereka suatu kerajaan dan imam-imam Allah untuk menyembah Allah kita dan memerintah di bumi.” 11 Aku melihat lagi. Aku mendengar suara ribuan dan jutaan malaikat. Mereka berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua. 12 Mereka menyanyi dengan suara yang lantang: “Anak Domba yang telah disembelih layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, kehormatan, kemuliaan dan puji-pujian.” 13 Aku mendengar semua makhluk — di syurga, di bumi, di bawah bumi, di dalam laut, dan semua yang ada di dalamnya, menyanyi: “Segala puji, kemuliaan dan kuasa kepada Dia yang duduk di atas takhta dan kepada Anak Domba untuk selama-lamanya.” 14 Keempat-empat makhluk itu menyahut, “Amin!” Para tua-tua itu pun sujud menyembah Allah dan Anak Domba itu. |