Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Wahyu 15 - Alkitab Versi Borneo


Nyanyian mereka yang menang

1 Aku melihat pula di langit suatu tanda lagi, yang besar dan ajaib, iaitu tujuh malaikat membawa tujuh wabak terakhir, maka dengannya selesailah kemurkaan Allah.

2 Kulihat seakan-akan lautan kaca bercampur api. Mereka yang menang menghadapi dugaan binatang itu, patungnya, tandanya dan angka namanya, berdiri di atas laut kaca itu memegang kecapi Allah.

3 Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba: “Agung dan ajaib pekerjaan-Mu, Tuhan, Allah Maha Kuasa! Benar dan adil setiap jalan-Mu, Ya Raja segala bangsa!

4 Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, Ya Tuhan, dan memuliakan nama-Mu? Kerana hanya Engkaulah Yang Maha Suci. Semua bangsa akan datang dan sujud menyembah-Mu, kerana penghakiman-Mu telah ternyata.”

5 Setelah itu, aku melihat pula dan ternampak Bait Suci di dalam khemah kesaksian di syurga terbuka.

6 Dari Bait Suci itu keluarlah tujuh malaikat yang membawa tujuh wabak itu, berpakaian linen yang bersih dan berseri-seri, dada mereka dililiti pending emas.

7 Kemudian satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh mangkuk emas yang dipenuhi kemurkaan Allah yang hidup selama-lamanya.

8 Bait Suci dipenuhi asap daripada kemuliaan Allah dan kuasa-Nya dan tiada siapa dapat memasukinya hingga tujuh wabak yang dibawa oleh tujuh malaikat itu selesai.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan