Mazmur 96 - Alkitab Versi Borneo1 Nyanyikanlah untuk TUHAN lagu baru; nyanyikanlah untuk TUHAN, seluruh bumi. 2 Nyanyilah untuk TUHAN, berkatilah nama-Nya; isytiharkan berita baik penyelamatan-Nya dari hari ke hari. 3 Isytiharkan kemuliaan-Nya dalam kalangan bangsa, mukjizat-Nya di antara semua umat-Nya. 4 Kerana TUHAN Maha Besar dan besar puji untuk-Nya; Dia harus ditakuti di atas semua tuhan. 5 Kerana semua tuhan bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi TUHAN telah menjadikan langit. 6 Kehormatan dan keagungan ada di hadirat-Nya; kekuatan dan keindahan di dalam tempat suci-Nya. 7 Berilah TUHAN, hai keluarga bangsa-bangsa, berilah TUHAN puji tentang kemuliaan dan kekuatan. 8 Berilah TUHAN kemuliaan yang wajar bagi nama-Nya; bawalah persembahan, dan datanglah ke pekarangan-Nya. 9 Sembahlah TUHAN dalam keindahan kesucian; gementarlah di hadirat-Nya, wahai seluruh bumi. 10 Katakanlah dalam kalangan bangsa-bangsa, “TUHAN bertakhta memerintah.” Dunia tidak diganjak; Dia akan mengadili kaum-kaum dengan benar. 11 Biarlah langit bergembira, dan biarlah bumi bersukacita; biarlah laut menderu, dan segala dalamnya; 12 biarlah padang berbahagia, dan semua dalamnya. Kemudian semua pokok hutan akan bergembira 13 di hadapan TUHAN kerana Dia akan datang, Dia akan datang untuk menghakimi bumi dengan keadilan dan kaum-kaum dengan kesetiaan-Nya. |