Mazmur 91 - Alkitab Versi Borneo1 Sesiapa yang tinggal di tempat rahsia Yang Maha Tinggi akan menetap di bawah bayang-bayang Yang Maha Kuasa. 2 Aku akan berkata tentang TUHAN, “Dialah penaungku dan bentengku, Allahku, akan kupercaya kepada-Nya.” 3 Sesungguhnya, Dia akan melepaskan kamu daripada jerat pemikat dan wabak yang berbahaya. 4 Dia akan melitupimu dengan bulu-Nya, dan di bawah sayap-Nya kamu akan bernaung; kesetiaan-Nya akan menjadi perisai dan peneguhmu. 5 Engkau tidak akan takut kepada sesuatu yang ngeri sewaktu malam, atau anak panah yang meluru sewaktu siang, 6 atau wabak yang merayap dalam kegelapan, atau kemusnahan yang melanda pada waktu tengah hari. 7 Seribu orang mungkin rebah di sisimu, dan sepuluh ribu di sebelah kananmu, tetapi maut tidak akan mendekatimu. 8 Hanya dengan matamu kamu akan memandang dan melihat balasan kepada orang zalim. 9 Kerana engkau telah menjadikan TUHAN tempat engkau menetap — Yang Maha Tinggi tempat aku bernaung — 10 kejahatan tidak akan menimpamu, dan wabak tidak akan mendekati tempat tinggalmu. 11 Kerana Dia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya menjagamu untuk memeliharamu walau di mana kamu berada. 12 Mereka akan menatangmu, supaya kakimu tidak tersandung batu. 13 Engkau akan memijak singa dan ular tedung; singa muda dan ular berbisa akan kaulanyak di bawah kaki. 14 “Kerana dia telah menumpukan kasihnya kepada-Ku, maka Aku akan melepaskannya; Aku akan meletakkannya di tempat tinggi, kerana dia mengetahui nama-Ku. 15 Dia akan berseru kepada-Ku, dan Aku akan menjawabnya; Aku akan menyertainya ketika dia dalam kesusahan, dan Aku akan melepaskannya dan memberinya penghormatan. 16 Dengan umur yang panjang Aku akan memberinya kepuasan dan menunjukkannya penyelamatan-Ku.” |