Mazmur 90 - Alkitab Versi BorneoDoa Musa, pengikut Allah. 1 Tuhan, Engkaulah tempat kami menetap turun-temurun. 2 Sebelum gunung-ganang diwujudkan atau Engkau membentuk bumi dan dunia, dari selama-lamanya hingga selama-lamanya, Engkau ialah Allah. 3 Engkau memalingkan manusia terhadap pemusnahan, dan berkata, “Pulanglah, hai anak-anak manusia.” 4 Kerana seribu tahun pada pandangan-Mu ialah seperti satu hari yang berlalu, dan seperti sebahagian malam. 5 Engkau membawa mereka pergi seperti banjir, mereka seperti tidur; pada waktu pagi mereka seperti rumput yang tumbuh — 6 pada waktu pagi ia subur dan tumbuh, pada waktu petang ia ditebas dan layu. 7 Kerana kami telah dibakar oleh kemarahan-Mu dan kami ketakutan kerana kemurkaan-Mu. 8 Engkau telah membentangkan dosa kami di hadapan-Mu, segala kesalahan rahsia kami dalam pancaran sinar wajah-Mu. 9 Hari demi hari kami lalui dalam kemurkaan-Mu; tahun demi tahun kami akhiri dengan keluhan. 10 Hidup kami hanyalah tujuh puluh tahun — dan jika kerana kekuatan usia kami mencapai lapan puluh tahun; tiada kemegahannya kecuali penat lelah dan sedih pilu, kerana sebentar sahaja nyawa pun diragut lalu kami melayang pergi. 11 Siapa yang tahu akan kuasa kemarahan-Mu? Kerana seperti ketakutan kepada-Mu, demikianlah kemurkaan-Mu. 12 Oleh itu, ajarlah kami menghitung hari kehidupan kami, supaya hati kami bijaksana. 13 Kembalilah, ya TUHAN! Berapa lama? Berikanlah belas kasih kepada hamba-Mu. 14 Segera limpahkan kasih setia-Mu kepada kami, supaya kami bergembira dan bersukacita seumur hidup. 15 Biarlah kami bersukacita sama panjangnya dengan masa kami Kauazabkan, tahun-tahun kami menemui kedurjanaan. 16 Biarlah perbuatan-Mu dilihat oleh hamba-hamba-Mu, dan kemuliaan-Mu oleh anak-anak mereka. 17 Dan biarlah berkat Tuhan, Allah kami, turun ke atas kami; dan meneguhkan kerja tangan kami — ya, meneguhkan kerja tangan kita. |