Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 9 - Alkitab Versi Borneo


Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu “Kematian Anak.” Mazmur Daud.

1 Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, dengan sepenuh hatiku; aku akan menceritakan segala keajaiban yang Kaulakukan,

2 Aku akan girang bergembira dalam-Mu; aku akan menyanyikan pujian untuk nama-Mu, Ya TUHAN Maha Tinggi.

3 Apabila musuhku berpatah balik; mereka akan jatuh dan musnah di hadirat-Mu.

4 Kerana Engkau telah menegakkan hak dan perjuanganku; Engkau bertakhta, dan menghakimi dengan adil.

5 Engkau telah memurkai bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu dan membinasakan orang zalim; Engkau telah menghapuskan nama mereka selama-lamanya.

6 Musuh telah musnah dalam kehancuran selama-lamanya, Engkau telah membinasakan kota-kota; sehingga luput daripada kenangan.

7 Namun TUHAN akan kekal selama-lamanya; Dia telah menyediakan takhta-Nya untuk penghakiman.

8 Dia akan menghakimi dunia dengan adil; Dia akan menghakimi manusia dengan saksama.

9 TUHAN tempat bernaung bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada waktu kesusahan.

10 Dan mereka yang mengenal nama-Mu akan percaya kepada-Mu, kerana Engkau, ya TUHAN, tidak mengabaikan sesiapa yang mencari-Mu.

11 Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN yang bertakhta di Sion; isytiharkan perbuatan-Nya kepada semua bangsa.

12 Dia mengingati mereka apabila Dia membalas kekejaman orang yang menumpahkan darah; Dia tidak melupakan rintihan mereka yang menderita.

13 Kasihanilah aku, ya TUHAN, timbangkan penderitaanku di tangan orang yang menganiayaku! Engkau yang mengangkatku daripada gerbang maut,

14 supaya aku dapat memuji-Mu di gerbang Puteri Sion, aku akan bergembira kerana Engkau menyelamatkanku.

15 Bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu telah jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri; kaki mereka terjerumus di dalam jerat yang dipasang sendiri.

16 TUHAN dikenali kerana keadilan-Nya; orang zalim terjerat dalam perangkap buatan sendiri. Higayon. Sela

17 Orang zalim akan musnah selama-lamanya, begitu juga bangsa-bangsa yang melupakan Allah.

18 Kerana orang sesak tidak akan terus dilupakan, harapan orang miskin tidak akan musnah selama-lamanya.

19 Bangkitlah, ya TUHAN, jangan biarkan manusia berleluasa; biarlah bangsa-bangsa dihakimi di hadirat-Mu.

20 Timbulkan ketakutan dalam hati mereka, ya TUHAN, supaya bangsa-bangsa itu sedar diri mereka hanyalah manusia. Sela

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan