Mazmur 88 - Alkitab Versi BorneoSebuah Nyanyian. Mazmur suku Korah. Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu Mahalat Leanor. Renungan Heman, orang Ezrahi. 1 Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkanku, aku telah berseru siang malam di hadapan-Mu. 2 Biarlah doaku datang ke hadirat-Mu; condongkan telinga-Mu kepada seruanku. 3 Kerana jiwaku dipenuhi kesusahan dan hidupku semakin hampir ke kubur. 4 Aku dikira serupa dengan mereka yang masuk ke kubur; aku seperti orang yang tidak bermaya. 5 Hanyut di antara orang mati, seperti orang terbunuh yang terbaring di dalam kubur, yang tidak Kauingati lagi, dan telah tersingkir daripada tangan-Mu. 6 Engkau telah meletakkan aku di kubur paling dalam, dalam kegelapan, jauh di dalam. 7 Kemurkaan-Mu berat menekanku; dan Engkau telah menimpakan segala azab-Mu seperti ombak ke atasku. Sela 8 Engkau telah menjauhkan semua kenalanku daripadaku Engkau telah menjadikan aku jijik di mata mereka. Aku terkurung, tidak dapat keluar; 9 mataku semakin pudar kerana kesakitan derita yang kutanggung. Ya TUHAN, aku telah berseru kepada-Mu setiap hari; aku telah menghulurkan tanganku kepada-Mu. 10 Akan Kaubuatkah mukjizat untuk orang mati? Akan bangkitkah orang mati lalu memuji-Mu? Sela 11 Akan disebutkah kasih-Mu di kubur, atau kesetiaan-Mu di tempat Kemusnahan? 12 Akan dikenalkah mukjizat-Mu dalam kegelapan, dan perbenaran-Mu di alam kelupaan? 13 Tetapi kepada-Mu aku telah berseru, ya TUHAN; dan pada waktu pagi doaku datang ke hadirat-Mu. 14 Ya TUHAN, mengapa Kausingkirkan jiwaku, mengapa Kausembunyikan wajah-Mu daripadaku? 15 Aku telah ditimpa azab dan hampir mati sejak usia mudaku; aku menderita ketakutan kerana-Mu, aku resah gelisah. 16 Kemurkaan-Mu yang dahsyat menimpaku; ketakutan kepada-Mu membinasakanku. 17 Segalanya mengepungku sepanjang hari seperti air; segalanya menenggelamkan aku. 18 Orang tersayang dan sahabat telah Kaujauhkan daripadaku; dan kenalanku dalam kegelapan. |