Mazmur 84 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Menurut lagu: Gitit. Mazmur suku Korah. 1 Betapa indahnya khemah-Mu, Ya TUHAN Yang Maha Kuasa! 2 Jiwaku ingin, ya rindu, akan pekarangan TUHAN; hatiku dan jasadku berseru kepada Allah yang hidup. 3 Sedangkan burung pipit ada tempat kediamannya, dan burung layang-layang ada sarangnya sendiri, tempat dia meletakkan anak-anaknya — malah juga mazbah-Mu, ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Rajaku dan Allahku. 4 Diberkatilah mereka yang tinggal di rumah-Mu; mereka berterusan memuji-Mu. Sela 5 Diberkatilah orang yang kekuatannya dalam-Mu, yang hatinya tertumpu kepada perjalanan suci. 6 Ketika mereka melalui Lembah Baca, mereka menjadikannya mata air; hujan pula memenuhinya dengan kolam. 7 Mereka mencapai kekuatan demi kekuatan, setiap orang tiba di hadapan Allah di Sion. 8 Ya TUHAN, Allah alam semesta, perhatikanlah doaku; dengarlah, ya Allah Yakub. Sela 9 Ya Allah, lihatlah perisai kami; dan pandanglah wajah orang yang telah Kauurapi. 10 Kerana satu hari di dalam rumah-Mu lebih baik daripada seribu di tempat lain; aku rela menjadi penjaga pintu di Rumah Allahku daripada tinggal di khemah orang zalim. 11 Kerana Allah TUHAN ialah matahari dan perisai; TUHAN akan memberi kasih kurnia dan kemuliaan; tiada kebaikan yang tidak dilimpahkan-Nya kepada mereka yang hidup tulus. 12 Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, diberkatilah orang yang percaya kepada-Mu. |