Mazmur 81 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Menurut lagu: Gitit. Dari Mazmur Asaf. 1 Menyanyilah dengan lantang untuk Allah kekuatan kita; bersoraklah dengan girang kepada Allah Yakub! 2 Nyanyikanlah lagu sambil memukul tamborin, bermain kecapi merdu serta gambus. 3 Tiuplah nafiri ketika Bulan Baru, dan semasa bulan purnama, pada hari perayaan kita yang luhur; 4 kerana ini adalah ketetapan bagi umat Israel, hukum Allah Yakub. 5 Dia menjadikannya sebagai suatu peraturan bagi Yusuf apabila Dia menjelajah seluruh tanah Mesir, di situ aku mendengar bahasa yang tidak kufahami. 6 Dia berkata, “Aku melepaskan bahunya daripada beban; tangan mereka dibebaskan daripada bakul. 7 Kamu menyeru-Ku ketika dalam kesusahan dan Aku melepaskan kamu, Aku menjawabmu di tempat rahsia guruh; Aku mengujimu di perairan Meriba. Sela 8 Dengarlah, wahai umat-Ku, Aku akan menegurmu — wahai Israel, kalaulah kamu mahu mendengar kata-Ku! 9 Tidak boleh ada tuhan asing dalam kalanganmu; dan kamu tidak boleh menyembah tuhan asing. 10 Akulah TUHAN, Allahmu, yang telah membawamu keluar dari Tanah Mesir. Bukalah mulutmu luas-luas, Aku akan memenuhinya.” 11 “Tetapi umat-Ku enggan mendengar suara-Ku; dan Israel sama sekali tidak mahu menerima-Ku. 12 Oleh itu, Aku biarkan mereka mengikut hati mereka yang degil hidup menurut fikiran mereka sendiri.” 13 “Kalaulah umat-Ku mahu mendengar-Ku, dan Israel mahu hidup menurut jalan-Ku, 14 tentu Aku segera menundukkan musuh mereka dan memalingkan tangan-Ku menentang musuh mereka! 15 Pembenci TUHAN pura-pura tunduk kepada-Nya, dan hukuman ke atas mereka kekal selama-lamanya. 16 Tentu diberi-Nya mereka makan gandum terbaik; dan dengan madu dari batu pejal tentu Kukenyangkan kamu.” |