Mazmur 79 - Alkitab Versi BorneoMazmur Asaf. 1 Ya Allah, bangsa-bangsa telah merampas warisan pusaka-Mu; Bait Suci-Mu telah dicemari oleh mereka, mereka telah meruntuhkan Yerusalem. 2 Mayat hamba-hamba-Mu telah diberi mereka sebagai makanan burung angkasa, tubuh umat-Mu yang warak dijadikan habuan binatang di bumi. 3 Darah mereka telah ditumpahkan seperti air sekitar Yerusalem, dan tiada siapa yang mengebumikan mereka. 4 Kami telah menjadi bahan celaan negeri-negeri jiran, sasaran bagi cemuhan dan ejekan mereka yang di sekeliling kami. 5 Berapa lama, ya TUHAN? Akan murkakah Engkau selama-lamanya? Akan terus menyalakah rasa cemburu-Mu seperti api? 6 Curahkanlah kemarahan-Mu ke atas bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu, dan kerajaan-kerajaan yang tidak menyeru nama-Mu; 7 kerana mereka telah menelan Yakub dan meranapkan tempat kediamannya. 8 Janganlah ingat akan dosa kami yang silam; segeralah limpahkan belas kasihan-Mu ke atas kami, kerana kami telah dijatuhkan sama sekali. 9 Tolonglah kami, ya Allah Penyelamat kami, demi kemuliaan nama-Mu; lepaskan kami serta berilah kami peluang menebus dosa kami demi nama-Mu. 10 Mengapa bangsa-bangsa harus berkata, “Di mana Allah TUHAN mereka?” Biarlah bangsa-bangsa sekeliling kami mengetahui pembelaan darah hamba-hamba-Mu yang telah ditumpahkan. 11 Biarkan rintihan orang tawanan sampai ke hadirat-Mu; dengan kebesaran kuasa-Mu peliharalah mereka yang dihukum mati. 12 Dan balaskan tujuh kali ganda kepada bangsa-bangsa jiran kami yang telah mencela-Mu, ya Tuhan, 13 Oleh itu, kami, umat-Mu dan kawanan domba-Mu, akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya; kami akan memuji-Mu turun-temurun. |