Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 74 - Alkitab Versi Borneo


Renungan Asaf.

1 Ya Allah, mengapakah Engkau menyingkirkan kami untuk selama-lamanya? Mengapakah kemurkaan-Mu berasap terhadap domba di padang-Mu?

2 Ingatlah jemaah-Mu yang telah Kaubeli dahulu, suku warisan-Mu, yang telah Kautebus — Bukit Sion ini, yang telah Kaudiami.

3 Angkatlah kaki-Mu kepada malapetaka yang berterusan, musuh telah merosakkan segala-galanya di tempat suci.

4 Musuh-Mu mengganas di tempat perhimpunan-Mu; mereka mengibarkan panji-panji sebagai tanda.

5 Mereka kelihatan seperti orang yang mengangkat kapak di celah pohon-pohon redang.

6 Dan sekarang mereka meruntuhkan ukirannya dengan kapak dan tukul.

7 Mereka telah membakar tempat suci-Mu; mereka telah mencemarkan tempat kediaman nama-Mu ke bumi.

8 Mereka berkata dalam hati, “Mari kita musnahkan semuanya!” Mereka telah membakar semua tempat perhimpunan Allah di tanah ini.

9 Kami tidak melihat tanda-tanda kami; tidak ada lagi nabi, dan tiada siapa antara kami yang tahu berapa lama.

10 Ya Allah, berapa lamakah seteru akan mencela? Adakah musuh akan mengkufuri nama-Mu selama-lamanya?

11 Mengapakah Engkau menarik balik tangan-Mu, ya, tangan kanan-Mu? Keluarkanlah tangan-Mu dari dada-Mu dan musnahkan mereka!

12 Kerana Allah ialah Rajaku dari dahulu; menjalankan penyelamatan di tengah-tengah bumi.

13 Engkau telah membelah laut dengan kekuatan-Mu; Engkau telah meremukkan kepala ular-ular laut di perairan.

14 Engkau telah meremukkan kepala-kepala Lewiatan dan memberikan sebagai makanan kepada orang yang tinggal di gurun.

15 Engkau telah membukakan pancuran dan banjir; Engkau telah mengeringkan sungai-sungai besar.

16 Siang milik-Mu, malam juga milik-Mu; Engkau telah menyediakan cahaya dan matahari.

17 Engkau telah meletakkan semua sempadan bumi; Engkau telah menjadikan musim panas dan musim dingin.

18 Ingatlah ini, bahawa musuh telah mencela, ya TUHAN, dan kaum yang bodoh telah mengkufuri nama-Mu.

19 Janganlah serahkan nyawa merpati-Mu kepada binatang ganas; janganlah lupakan kehidupan makhluk-Mu yang miskin selama-lamanya.

20 Fikirkanlah perjanjian, kerana tempat-tempat gelap di bumi penuh dengan sarang kekejaman.

21 Janganlah biarkan orang yang tertindas pulang menanggung malu; biarlah orang yang miskin dan sesak memuji nama-Mu.

22 Bangkitlah, ya Allah, tegakkanlah perjuangan-Mu sendiri; ingatlah betapa orang bodoh mencela-Mu setiap hari.

23 Janganlah lupakan suara musuh-Mu, hiruk-pikuk mereka, yang bangkit menentang-Mu semakin bertambah.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan