Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 66 - Alkitab Versi Borneo


Untuk pemimpin muzik. Sebuah nyanyian. Sebuah mazmur.

1 Bersoraklah dengan girang kepada Allah, wahai seluruh bumi!

2 Nyanyikan kebesaran nama-Nya; lafazkan puji-pujian untuk-Nya penuh kemuliaan!

3 Katakan kepada Allah, “Alangkah menakjubkan segala perbuatan-Mu! Kekuasaan-Mu sungguh besar semua musuh-Mu akan tunduk kepada-Mu.

4 Seluruh bumi akan menyembah-Mu; dan menyanyikan pujian kepada-Mu, mereka menyanyikan pujian kepada nama-Mu.” Sela

5 Marilah melihat perbuatan Allah, Dia sungguh menakjubkan dalam perbuatan-Nya terhadap anak-anak manusia!

6 Dia mengubah laut menjadi tanah kering, mereka menyeberangi berjalan kaki — di sana kami bersukacita kerana-Nya.

7 Dia memerintah dengan kekuasaan-Nya untuk selama-lamanya, Dia mengawasi bangsa-bangsa; jangan ada pemberontak cuba melawan-Nya. Sela

8 Pujilah Allah kami, hai semua umat-Nya, biar suara puji untuk-Nya didengar orang;

9 Dia telah melindungi kami daripada kematian dan tidak membiarkan kami dikalahkan.

10 Kerana Engkau, ya Allah, telah menguji kami; Engkau telah memurnikan kami seperti perak yang dimurnikan.

11 Engkau membiarkan kami terjerumus ke dalam perangkap; Engkau membebani kami dengan derita.

12 Engkau membiarkan orang memijak kepala kami; kami mengharungi api dan air, tetapi Engkau telah membawa kami keluar ke dalam limpahan rahmat dan pencapaian hasrat.

13 Aku akan masuk ke rumah-Mu membawa korban bakaran, aku akan menunaikan segala janjiku kepada-Mu —

14 yang telah kulafazkan ketika aku dalam kesusahan.

15 Aku akan mempersembahkan kepada-Mu ternakan yang digemukkan sebagai korban bakaran bersama bauan harum daging domba jantan; aku akan mempersembahkan lembu jantan dan kambing. Sela

16 Marilah dan dengarlah, wahai kamu yang takut akan Allah; aku akan mengisytiharkan apa yang telah dilakukan-Nya untukku.

17 Aku berseru kepada-Nya dengan mulutku; dan dengan lidahku Dia disanjung.

18 Kalaulah ada niat jahat dalam hatiku, Tuhan tidak akan mendengar rayuanku;

19 tetapi sesungguhnya Allah telah mendengar suaraku dan telah mengabulkan doaku.

20 Segala puji bagi Allah, yang tidak menolak doaku dan tidak menyingkirkan aku daripada kasih-Nya!

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan