Mazmur 58 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Menurut lagu “Jangan Binasakan.” Mazmur Daud. 1 Benarkah kamu menegakkan kebenaran, hai kamu yang membisu? Adakah kamu menghakimi dengan adil, hai anak-anak manusia? 2 Tidak, hatimu merancang kejahatan, tanganmu melakukan keganasan di bumi ini. 3 Orang zalim tersisih sejak dalam rahim; mereka sesat sejak lahir, mereka berdusta. 4 Racun mereka seperti racun ular yang bisa, mereka menutup telinga seperti ular tedung yang tuli, 5 yang tidak mahu mendengar suara tuannya, walau betapa bijak memujuknya. 6 Patahkanlah gigi singa-singa muda itu, ya Allah; cabutkan taring mereka, ya TUHAN! 7 Biar mereka hilang seperti air mengalir terus-menerus; apabila mereka memanah, hancurkan anak panah mereka. 8 Jadikan mereka seperti siput yang menjadi lendir, seperti anak yang dilahirkan mati, tidak sempat melihat matahari. 9 Sebelum mereka sedar ditikam duri berapi — mereka akan disambar-Nya seperti dengan tiupan taufan dalam kemurkaan-Nya yang hidup dan menyala-nyala. 10 Orang yang benar akan bergembira melihat pembalasan itu, lalu membasuh kaki dalam darah orang zalim. 11 Maka orang akan berkata, “Sesungguhnya, orang yang benar mendapat ganjaran; sesungguhnya Allah mengadili di bumi ini.” |