Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 56 - Alkitab Versi Borneo


Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu “Merpati Sepi di Tanah Jauh.” Mazmur Daud, pada masa orang Filistin menangkapnya di Gat.

1 Kasihanilah aku, ya Allah, kerana orang hendak membinasakan aku; sepanjang hari mereka menyerang dan menindasku.

2 Musuhku memburu aku sepanjang hari; ramai orang menentangku.

3 Apabila aku berasa takut, aku berharap kepada-Mu.

4 Kepada Allah, aku memuji firman-Nya, kepada Allah, aku meletakkan kepercayaanku; aku tidak akan gentar. Apakah yang dapat dilakukan oleh manusia kepadaku?

5 Sepanjang hari mereka memesongkan kata-kataku; seluruh fikiran mereka penuh kejahatan menentangku.

6 Mereka berhimpun, mereka bersembunyi, memerhatikan jejak langkahku, lalu menghendap untuk meragut nyawaku.

7 Mereka tidak patut dibiarkan berleluasa melakukan kejahatan; binasakanlah mereka dalam kemurkaan-Mu, ya Allah.

8 Engkau memerhati setiap gerak-geriku; Engkau mengambil kira setiap titis air mataku — tidakkah mereka itu tercatat dalam buku-Mu?

9 Apabila aku berseru kepada-Mu musuhku akan berundur. Ini aku tahu, kerana Allah memihak kepadaku.

10 Kepada Allah, aku memuji firman-Nya, kepada TUHAN, aku memuji firman TUHAN —

11 kepada Allah kuletakkan kepercayaanku; aku tidak akan gentar. Apakah yang dapat dilakukan oleh manusia kepadaku?

12 Aku akan menunaikan segala janjiku kepada-Mu, ya Allah; aku akan bersyukur memuji-Mu.

13 Kerana Engkau telah menyelamatkan aku daripada maut dan mengelakkan kakiku daripada tergelincir, supaya aku dapat melangkah di hadapan Allah dalam cahaya orang yang hidup.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan